Aku dan perjuangan


بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ

 Assalamualaikum (selamat sejahtera).

    Aku dilahirkan dan dibesarkan di Petaling Jaya. Hidup di dalam keluarga yang sederhana, dibesarkan oleh keluarga yang penuh kasih sayang dan aku bersekolah di sekolah kebangsaan. Di situlah permulaan aku membaca, dari membaca keratan akhbar sehinggalah buku-buku, majalah-majalah dan juga komik. Selain bermain dengan kawan-kawan, aku juga gemar menonton televisyen (TV). Waktu itu, TV adalah medium perkongsian maklumat seperti berita dan hiburan. Tidak seperti hari ini, semuanya di hujung jari.

    Kalau tak silap aku, permulaan kisah perjuangan aku pada waktu itu adalah penghujung peperangan di Bosnia dan Herzegovina. Aku terlihat di kaca TV tentang membuat kutipan derma untuk membantu negara tersebut termasuk hebahan di dada akhbar. Aku mula tertanya-tanya tentang kempen kutipan derma ini di sekolah. Pada mulanya aku bertanya pada ibu bapa aku tetapi katanya "lebih elok kamu bertanya kepada pihak sekolah." Lalu aku pun bertanya pada cikgu dan selepas didesak beberapa kali, akhirnya cikgu memberitahu aku, "tidakkah kamu perasan di sekeliling kamu ada orang yang lebih susah dan mengapa kamu tidak membina (membantu) negara kamu dahulu sebelum kamu melihat ke negara luar."

    Bermula dari situ, aku mula perasan setiap hujung tahun persekolahan masih ada pelajar (rakan-rakan) yang tidak dapat menjelaskan duit yuran sekolah. Aku juga punya pengalaman melihat rakan-rakan yang merayu kepada cikgu untuk memberi masa untuk menjelaskan duit yuran persekolahan tersebut. Waktu itu, kawasan aku membesar sedang rancak dengan pembinaan rumah kos rendah dan pada waktu itu masih ada ramai lagi orang yang duduk di rumah setinggan/papan/panjang. Sehinggalah aku masuk ke Sekolah aliran teknikal, aku mendapat ramai kawan dan kenalan dari luar kawasan aku membesar dan ada juga kisah yang sama seperti aku dan ada juga dari keluarga yang berada.

    Selepas sekolah aku bekerja tetapi tidak lama kerana aku mendapat tawaran Khidmat Negara (PLKN). Di sini aku dapati ramai kawan berbilang bangsa yang mempunyai pelbagai latar belakang dan membuat aku lebih berprinsip untuk berjuang membasmi kemiskinan. Selepas PLKN aku dapat tawaran sambung belajar. Dekat sinilah permulaanya aku berjuang di Media Sosial (MedSos). Ditambah pula dengan semangat 2 figura idola tokoh Malaysia di kampus waktu itu Dr. M dan DSAI menyebabkan aku semakin rancak berjuang. Selain itu kursus-kursus yang aku hadiri pada waktu itu memberi aku semangat untuk aku kehadapan memberi pandangan dan cadangan ke pelbagai pihak. Sehinggalah aku sakit, aku mula mempelahankan perjuangan aku. Waktu ini lah waktu yang betul-betul memberi pelbagai hikmah dan pelajaran.

    Waktu aku sakit, baru aku sedar selama ini apa yang aku buat bukanlah satu perjuangan tetapi menujukkan betapa ceteknya akal fikiran waktu itu. Aku mula sedar nikmatnya kesihatan berbanding kejayaan dan kekayaan. Waktu itu, aku baru membuat rawatan dan aku ternampak seorang pakcik yang sedang bekerja mengangkat barang berat di pasar raya yang masih boleh tersenyum dengan pekerjaannya. Membuatkan aku pelajari nikmatnya bersyukur dengan apa yang ada dan aku juga mula sedar perjuangan aku selama ini dikelilingi oleh kawan-kawan aku yang berada dan bukannya orang ysng susah, membuatkan aku rasa malu yang selama ini aku berjuang bukan untuk membantu membasmi kemiskinan tetapi berjuang untuk diri sendiri.

     Kesimpulanya, banyak lagi kisah-kisah yang menyebabkan aku tidak terus berjuang dan lebih membawa diri membetulkan landasan kehidupan ke arah yang lebih tepat kepada peningkatan ilmu dan membaiki diri. Antaranya, semasa Malaysia dilanda Covid-19 (PKP), banyak syarikat-syarikat dan badan-badan Persatuan (NGO) mahupun orang kaya persendirian yang tidak lepas tangan membantu menghulurkan bantuan serta sumbangan kepada orang susah dan orang yang memerlukan bantuan. Malahan pihak Masjid dan zakat sekarang pun dah lebih unggul dan mantap dalam membantu fakir miskin. diantaranya konsep penyediaan kebuk makanan kepada orang yang memerlukan di masjid dan surau. Sewaktu PKP jugalah aku mula sedar maksud guru aku selama ini adalah untuk aku berjuang membaiki diri, menaikkan taraf hidup dan menjadi insan yang terbaik supaya boleh membantu orang yang memerlukan bantuan. Cumanya, sakit itu membuatkan aku lambat dalam pelbagai aspek dan membuatkan aku sedar bahawa aku ini banyak kekurangan dan kelemahan. Kadang-kala terasa letih untuk memperbaiki diri menjadi hamba yang terbaik di dunia dan di akhirat. Ye la, aku bukan maksum, iman pun turun dan naik tetapi apa boleh buat kita merancang, tuhan yang menentukan, aku hanya mampu pasrah, beserah, redha dan tawakal.

Comments

Popular posts from this blog

Aku dan Minyak Wangi

Aku dan UMRAH (Part Madinah)